top of page
Search
  • Writer's pictureSSS

Dapat daging 1/2 kg, mereka cukup ceria...

Assalamu’alaikum w.b.t.


Sebanyak 9,400 individu dan keluarga kurang berkemampuan di Bangladesh dan Kem Rohingya Cox’s Bazar telah menerima daging korban menerusi Misi Kemanusian Ibadah Korban dan Akikah di kem pelarian Rohingya dan kawasan pedalaman Bangladesh yang dianjurkan oleh Yayasan Ikhlas, baru-baru ini.


Sebanyak 149 ekor lembu dan 25 ekor kambing dikorbankan hasil daripada penyertaan rakyat Malaysia dan Singapura yang menunjukkan peningkatan bilangan sekali ganda berbanding tahun lepas.


Walaupun urusan permit pihak kerajaan Bangladesh untuk melakukan korban di kem agak rumit, namun rintangan itu berjaya diatasi.


Kerana kerajaan Bangladesh juga mengharapkan kita membantu rakyat mereka yang susah. Jadi kita turut mengagihkan sebahagian daripada daging korban ke kawasan pedalaman Bangladesh. Di kem Rohingya pula, mereka berasa sangat gembira dengan kunjungan kami dan lebih gembira apabila menerima sumbangan korban. Walaupun apabila diagihkan daging, mereka hanya menerima 1/2 kg, itu sudah cukup menceriakan. Mereka lapar, tiada bekalan makanan yang mencukupi. Kebanyakan mereka hanya dapat makan dua hingga tiga hari sekali. Jadi, sumbangan korban walaupun sedikit, besar ertinya bagi mereka. Kita orang Malaysia merasakan terlalu sedikit, tetapi banyak pada mereka. Rakyat mereka yang tinggal di kem pelarian ramai, lebih dari 800,000 orang. Kena akur terpaksa terima sedikit seorang atau sekeluarga.


Segala usaha menguruskan permit dirasakan amat berbaloi tatkala melihat kegembiraan di wajah-wajah penerima daging korban di sana. Saya merasa gembira dan puas hati kerana telah berjaya menyempurnakan amanah peserta korban dari Malaysia dan Singapura.

Saya juga berasa amat gembira apabila dapat menceriakan wajah golongan fakir yang menerima bahagian korban. Mereka memang gembira. Terubat segala letih lesu menguruskan permit dan sebagainya.


Program di sana pada asalnya dirancangkan berlangsung dua hari iaitu pada 23 dan 24 Ogos bersamaan 11 dan 12 Zulhijjah 1439H. Namun, dek kerana kerenah birokrasi, urusan korban hanya dapat dilakukan pada 24 Ogos bersamaan 12 Zulhijjah (tarikh di Bangladesh).


Kami ambil masa hanya satu hari untuk selesaikan semua haiwan korban sebanyak 125 ekor. Lagi 24 ekor disembelih pada raya kedua dan ketiga di luar kem. Kami dari Yayasan Ikhlas seramai 4 orang. Seorang staf (saya sendiri) dan 3 orang sukarelawan. Dari Aman Palestin seramai 5 orang sukarelawan.


Pasukan kami terpaksa berpecah kepada dua kumpulan. Satu di dalam kem, manakala satu lagi di luar kem iaitu kawasan pedalaman Bangladesh. Lebih kurang enam jam perjalanan darat.


Mudah-mudahan Yayasan Ikhlas akan terus mendapat kepercayaan masyarakat untuk melakukan ibadah korban pada masa akan datang. Semoga Allah menerima segala ibadah korban yang telah dilakukan.


USTAZ ABDUL RAHMAN ISKANDAR (AL-RAIS)

Pengurus Yayasan Ikhlas Kelantan

Yayasan Ikhlas

1 view0 comments

NEWS

bottom of page